Thursday, 25 April 2013

Kawan yang Baik itu...



Bukannya senang nak cari kawan yang baik.
Bukan senang juga nak menjadi kawan yang baik.
Kawan yang baik 
tak pernah mengumpat di belakang kawan baiknya.
Kawan yang baik 
tak pernah cemburu dengan kejayaan kawan baiknya.
Sebaliknya kawan yang baik lah yang paling banyak membantu kawan baiknya untuk mencapai kejayaan.

Kawan yang baik 
tak pernah mempengaruhi kawan baiknya untuk membuat perkara yang buruk dan sia-sia.
Kawan yang baik 
adalah orang yang selalu menasihati kawan baiknya untuk berbuat kebaikan.

Kawan yang baik
adalah orang pertama yang akan dicari bila tiba masa sedih atau gembira.
Kawan baik menjadi tempat kita meluahkan perasaan yang tak dapat diluahkan kepada kawan biasa.

Kawan yang baik 
tak pernah memaksa kawan baiknya untuk sentiasa berada di sisinya.
Kawan yang baik
 tak pernah melarang kawan baiknya untuk berkawan dengan kawan yang baik.
Kawan yang baik 
tak pernah cemburu jika kawan baiknya mempunyai ramai kawan baik, kerana kawan yang baik tahu apa yang paling baik untuk kawan baiknya.

Kawan yang baik
akan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan kawan baiknya di dunia dan di akhirat di dalam doanya.

Kita adalah kawan yang baik jika kita
faham bahawa kawan baik kita bukanlah seorang yang sempurna.
Kita adalah kawan yang baik jika
kita menjadi kawan yang baik kepada kawan baik kita.

Kita bukanlah kawan yang baik jika
kita tidak menghargai kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan sentiasa menghargai kawan baiknya.

Kita bukanlah kawan yang baik jika
kita tidak memberitahu perkara yang baik kepada kawan baik kita, kerana kawan yang baik akan selalu menyampaikan perkara yang baik kepada kawan baiknya.



Sunday, 14 April 2013

Kenali Sahabat 'Gunting Dalam Lipatan'


SEMESTINYA kamu pernah mendengar pepatah 'rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain'. Dalam bersahabat sentiasalah berpegang pada pepatah tersebut. Hal ini kerana kamu tidak pernah dapat menjangka atau boleh meramal apa yang ada dalam hati seseorang. Di hadapan kamu semuanya nampak baik dan kamulah sahabatnya hingga mati. Tetapi di belakang kamu, rupanya dialah yang selama ini menjadi 'gunting dalam lipatan' yang cuba menjatuhkan kamu. Jadi sentiasalah berwaspada apabila kamu berhadapan dengan sahabat sebegini.


Motif dan tujuannya




Kebiasaannya motif 'si gunting dalam lipatan' ini adalah untuk melihat kamu jatuh ataupun cuba mengambil kesempatan di atas kelemahan kamu. Selain itu, mereka juga mempunyai perasaan dengki apabila kamu berjaya mendapatkan sesuatu yang dia tidak perolehi. Padahal dia merasakan dirinya lebih layak. Sememangnya diakui golongan seperti ini bukan mudah untuk dikenal pasti, namun kamu mungkin boleh melihat sifat dan ciri-ciri yang dimilikinya. Cuba kamu semak dan tandakan ciri-ciri berikut dimiliki oleh sahabatmu itu, sahlah kamu telah tersalah memilih sahabat dan dia sebenarnya orang yang boleh dikategorikan sebagai gunting dalam lipatan...

  • Apabila kamu bercakap, si dia akan menyokong cakap kamu tanpa sebarang bantahan. Biarpun adakalanya apa yang kamu cakapkan itu tidak rasional atau terlalu mengikut perasaan.
  • Tidak pernah menasihati kamu walaupun sudah jelas kamu melakukan tindakan yang salah.
  • Sentiasa mengajar kamu melakukan perkara yang salah seperti di tempat kerja, si dia mempengaruhi kamu menentang ketua kamu sedangkan dalam masa yang sama dia sendiri sentiasa berbaik-baik dengan ketua.
  • Ada masa-masanya, tindak-tanduknya kamu dapat lihat seperti mahu mengenakan kamu... saat inilah kamu perlu hati-hati.
  • Bila ada rakan-rakan yang memberitahu kamu bahawa di belakangmu si dia tidak habis-habis membuat cerita buruk tentang kamu. Sedangkan di depan kamu, pijak semut pun tak mati.
  • Mulutnya sentiasa manis dan bijak berkata-kata. Kamu sering dikatakan menjadi idolanya atau si dia amat mengagumi kamu sehinggakan kononnya apa sahaja yang kamu lakukan tidak pernah salah di matanya.
  • Kalau dari segi kata-kata si dia memang pandai mengambil hati, tetapi kalau soal wang si dia agak kedekut sedikit. Jarang-jarang sekali si dia mahu menghabiskan wangnya semata-mata mahu ambil hati kamu. Sebab mereka ini ambil hati dengan air liur bukan wang ringgit.
  • Namun begitu ada juga sesekali si dia akan beri kamu hadiah, tetapi hadiah tersebut bukanlah terlalu berharga. Namun berjaya membuatkan kamu menghargainya sehinggakan dapat menutup sedikit keburukannya.
  • Bijak menyorokkan semua keburukannya dan sering buat orang simpati dengannya melului kisah-kisah sedihnya yang tertindas oleh beberapa pihak.
  • Hidupnya selalu nampak macam tenang sahaja seperti dia tidak pernah ada musuh, tetapi bak kata pepatah jangan sangkaair yang tenang tidak ada buaya. Kamu mungkin salah seorang dari musuhnya...
  • Bagi yang ada teman lelaki, biasanya ini adalah sasaran utama. Apabila kamu ada masalah dengan teman lelaki dia pasti akan menjadi sukarela untuk menjadi orang tengah dan pendamai, tetapi harus diingat lain yang kamu katakan lain pula yang akan disampaikan. Silap-silap hari bulan boyfriend kamu akan bertukar milik menjadi boyfriendnya...
  • Si dia begitu mengambil berat tentang kamu serta setiap hari tidak pernah lupa bertanyakan khabar. Tujuannya untuk pastikan kamu akan terus mempercayai kebaikannya. 
  • Cuba melaga-lagakan kamu dengan teman yang lain tanpa sebarang sebab.
  • Membuat cerita-cerita yang tidak ada bukti yang sahih.
  • Tidak pernah mengaku kesilapan sendiri, tetapi apa yang sering dilihatnya adalah kesilapan orang lain.

Langkah Mengatasinya
Kamu mungkin marah dan kecewa kerana orang yang selama ini kamu anggap sahabat rupanya berniat jahat pada kamu. Namun jangan lakukan sesuatu yang lebih mengeruhkan keadaan. Banyak lagi cara terbaik yang boleh kamu pilih untuk selesaikan masalah. Sekiranya kamu berhadapan dengan masalah dan situasi ini, berikut adalah cara serta langkah yang boleh kamu ambil:
  • Bersemukalah dengannya dan berterus terang bahawa kamu sudah tahu apa yang dilakukan padamu.
  • Minta dia sendiri yang mengaku dan katakan padanya kamu tidak berdendam ataupun marah padanya kerana apa yang penting kamu cuma mahu tahu apa punca si dia cuba menikam kamu dari belakang.
  • Tunjukkan bukti atau saksi yang kamu ada sekiranya dia enggan mengaku apa yang kamu katakan.
  • Jangan sesekali meninggikan suara, bercakaplah dengan penuh diplomasi agar dia tidak melenting apabila kamu menuduhnya dan semuanya dapat diselesaikan dengan aman. 
  • Sekiranya dia masih menafikan apa yang kamu katakan, langkah seterusnya kamu biarkan sahaja si dia begitu tanpa perlu menekan lagi sehingga boleh mencetuskan pergaduhan yang besar.
  • Kamu cuba elakkan diri daripada berhadapan dengannya. Tidak perlulah menyimpan dendam sehinggakan kamu dan dia berterusan bermusuh.


  • Jangan sesekali memburuk-burukkan musuh kamu itu pada orang lain kerana bimbang si dia semakin berdendam pada kamu sehingga sanggup melakukan perkara yang tidak sepatutnya. 
  • Mana-mana cerita buruk yang pernah tersebar tentang kamu ataupun kamu pernah tersalah anggap pada orang lain kerana terpedaya dengan kata-kata sahabat kamu itu sebaiknya carilah jalan untuk membersihkan nama kamu semula. Jernihkan kembali hubungan kamu dengan sesiapa sahaja yang berkaitan. 
  • Kamu boleh menasihati teman-teman lain agar lebih berhati-hati dengan si dia.
  • Andainya si dia mengakui kesilapannya, kamu perlu memaafkannya tetapi awas jangan mudah percaya dengan kata-kata maafnya kerana orang sepertinya bukan terlalu mudah untuk menyesal. Memaafkan itu boleh, tetapi jangan terus percaya kerana sekiranya kali kedua kamu terperangkap pasti ianya akan lebih teruk daripada yang pertama.