Sunday 16 September 2012

Geng Sepejabat, Apa Untungnya?

HA...semestinya ramai yang mengakui bahawa hubungan persahabatan yang terjalin mampu memperkayakan lagi hidup kamu. Bagaimanapun sekiranya sesebuah ikatan persahabatan itu tercipta di tempat kerja, apakah untung ruginya? Dalam masa yang sama kamu juga perlu bijak untuk memisahkan antara kehidupan profesional dengan peribadi.

Hal ini kerana persahabatan di tempat kerja juga boleh memberi kesan yang amat besar pada karier kamu. Ia membantu kamu menjadi lebih tenang dalam bekerja di samping mendapat banyak bantuan dalam merealisasikan sesuatu tugasan yang sedang kamu jalankan. Persahabatan akan menjadikan semangat kerja kamu semakin bertambah sehingga meningkatkan nilai-nilai produktiviti.

Banyak kelebihan yang mampu kita peroleh menerusi sesebuah hubungan persahabatan yang terjalin. Jadi tidak hairanlah apabila ada sesetengah syarikat tertentu yang memberi penghargaan kepada kakitangan kegemaran mereka yag berjaya menjalankan hubungan sosial yang positif dengan rakan-rakan sekerja di sekelilingnya. Namun di dalam situasi tertentu, lain pula masalah yang bakal timbul. Adakalanya persahabatan boleh membuatkan seseorang itu jadi serba salah kerana impaknya sangat berat. Terlalu banyak bergaul juga akan mengganggu produktiviti kerja kamu. 

Informasi rahsia dan profesional boleh juga diterima secara negatif. Perkara sebegini boleh menjadikan kelompok persahabatan kamu berkembang menjadi ekslusif, negatif dan cenderung untuk bersikap 'pilih kasih' kepada seseorang. Sememangnya kita akan berusaha untuk memperlihatkan kuatnya ikatan sesebuah hubungan persahabatan yang terjalin itu. Namun adakalanya sikap yang gemar berkelompok / berkumpulan akan memudahkan individu menghasilkan satu masalah yang besar. Lebih-lebih lagi apabila berbual tentang topik yang berkaitan tentang kepercayaan seperti bagaimana pendapat kamu tentang pengurus, rakan sekerja dan pekerjaan kamu sendiri. Kamu pasti mengharapkan mereka tidak akan membocorkan atau menghebahkan tentang butir bicara yang kamu bualkan itu kepada orang lain. Tetapi semua itu bergantung pada tahap kesetiaan rakan-rakan kamu agar informasi yang kamu sampaikan tidak sampai ke telinga individu yang berada di luar kelompok kamu itu. Persahabatan yang terjalin di pejabat sama sekali berbeza maksudnya berbanding persahabatan yang terjalin di luar pejabat.

Kerja memberikan kemudahan kewangan kepada individu dan jika diminta untuk memilih antara pendapatan berbanding persahabatan, pasti sebahagian besar individu akan memilih untuk mempertahankan pekerjaannya berbanding persahabatn itu sendiri. Jadi jelaslah di sini betapa goyahnya hubungan persahabatan yang dijalinkan atas dasar kerja semata-mata. Malah senario ini juga bakal mewujudkan pro dan kontra di tempat kerja. Kamu harus memilih sewaktu membina ikatan persahabatan dengan rakan sepejabat. Persahabatan yang baik akan memberi pengaruh yang positif bagi karier kamu. Tetapi jika kamu tersalah memilih kawan, ia akan memberi kesan negatif terhadap kerjaya kamu.

Bersahabat dengan pihak atasan memang tidak ada salahnya. Namun, persahabatan yang terjalin sesama rakan sejawatan akan berlangsung dengan lebih mudah kerana masalah akan terjadi bila ada yang mengawasi atau menilai orang lain. Tetapi jika kamu ingin bersahabat dengan pihak atasan, rakan-rakan yang lain pasti akan lebih peka dan ambil tahu tentang pencapaian semasa kamu dalam kerjaya yang kamu ceburi itu.

Jika sesebuah hubungan persahabatan gagal terbina atau secara perlahan-lahan ia semakin pudar, ini bermakna kamu perlu bertindak melakukan sesuatu. Walaupun keserasian dalam lingkungan yang sama dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan, tetapi hubungan persahabatan yang terjalin secara 'segera' itu juga perlu dijaga dan diberi perhatian. Jika kamu benar-benar menyukainya, dalam keadaan apapun persahabatan itu akan tetap bertahan lama. 

Tetapi adakalanya jarang yang mampu bersikap terbuka dengan rakan-rakan sekerja kerana hubungan dalamannya memang agak sukar dibentuk. Sebaik-baiknya dua individu yang menjadi sahabat ini haruslah menerapkan hubungan persahabatan yang lebih erat dan sedia meluangkan lebih banyak masa bersama. Dengan ini ia akan membuatkan kamu tidak memiliki sebarang halangan untuk bersikap lebih terbuka termasuklah sewaktu di tempat kerja.

Bagi mengelakkan diri kamu dari terjerumus dengan arus berbahaya, kamu perlu berhati-hati dalam memberi kepercayaan kepada sahabat kamu. Berhati-hatilah dengan jenis-jenis informasi yang bersifat rahsia kerana kemungkinan si sahabat akan membocorkan informasi tersebut. Sebaik-baiknya kamu perlu menjauhkan diri dari situasi yang boleh mencetuskan konflik untuk kepentingan tertentu.

No comments:

Post a Comment