Saturday 15 September 2012

Hati-hati Ajak Sahabat Bercuti

BERCUTI bersama rakan-rakan sememangnya satu aktiviti yang menyeronokkan dan menghiburkan. Lebih-lebih lagi bila berkumpul dan bercuti bersama rakan-rakan sekepala. Namun adakalanya sesuatu yang dirancang itu boleh menjadi sebaliknya jika salah seorang dari sahabat yang mengikuti percutian kamu itu melakukan sesuatu perkara yang tidak menyenangkan kawan-kawan yang lain. Ish...huru-hara juga jadinya kan? Kerana seorang sahaja daripada kamu yang mengikut rentak hati sendiri, habis semua bakal merasakan tidak puas hati.

Hati-hati kerana ada jenis sahabat sebegini yang perlu kamu elakkan dari mengajaknya untuk turut serta dalam percutian kamu itu. Jangan jadikan perancangan yang menyeronokkan itu bertukar jadi memori menyakitkan yang bakal tidak dapat kamu dan sahabat-sahabat yang lain lupakan sampai bila-bila! Apa kata kamu kenal pasti sikap dan perilaku sahabat-sahabat kamu seorang demi seorang sebelum membuat keputusan untuk mengajaknya pergi bercuti bersama-sama.

Si manja
Mudah sahaja untuk mengenali individu dari kategori ini. Kebiasaan, si manja ini:

  • Selalu memerlukan individu lain untuk menemaninya walau ke mana sahaja dia pergi.
  • Sering merengek-rengek bila meminta atau menginginkan sesuatu. 
  • Cepat tersentuh dan merajuk. Sikapnya kelihatan terlalu sensitif kerana mudah tersinggung dengan setiap kata-kata dan guraun yang dilemparkan kepadanya.
  • Tidak boleh menanggung kesusahan bersama-sama.
Untuk mengatasi sahabat yang sebegini kamu perlu bersikap lebih terbuka dengannya. Sebelum kamu mengajaknya bercuti, kamu jelaskan peraturan dan undang-undang yang perlu dipatuhi sepanjang percutian itu berlangsung. Kamu tegaskan kepadanya bahawa setiap individu yang menyertai percutian ini perlulah memiliki sikap bekerjasama dan sanggup menghadapi kesusahan bersama-sama. Malah kamu jelaskan juga bahawa percutian ini sememangnya agak memenatkan.

Jika peraturan-peraturan yang telah ditetapkan itu tidak mampu dituruti oleh sahabat, maka dia tidak layak untuk menyertai percutian itu. Sebelum kamu pergi bercuti, biarkan dia menyiapkan sendiri kelengkapan yang perlu dibawanya sepanjang percutian itu. Sebaik-baiknya kamu ajar sahabat kamu itu terlebih dahulu bagaimana cara untuk berdikari.

Si lembap
Serba-serbi perkara yang dilakukannya kelihatan lemh dan lambat. Selain itu:
  • Pergerakan dan tindakannya terhegeh-hegeh.
  • Susah untuk bangun awal pagi.
  • Janji-janji yang dilafazkannya sukar untuk dikotakan!
Kamu masih berhasrat untuk mengajak sahabat sebegini. Jadi, apa kata kamu adakan satu jadual tetap di sepanjang percutian itu berlangsung. Tegaskan kepada sahabat bahawa, jika dia terlewat dari jadual, dirinya akan terus ditinggalkan bersendirian. Masa itu emas! Kadangkala kamu tidak boleh memanjakan individu sebegini. Satu tindakan tegas perlu kamu lakukan terhadapmya. Jika dia masih lagi bangun lambat, apa kata kamu siramkan sahaja air untuk mengejutkannya. Bila dia tersedar kamu tetapkan masa lima minit untuk sahabat kamu itu menyiapkan diri. Dan jika dia terlambat, apa lagi? Tinggalkan sahaja dia!

Si ayu
Lemah juga kalau memiliki sahabat kaki 'maintain'. Pantang jumpa tandas atau cermin. Sudah tentu dia akan singgah untuk melihat penampilannya di saat itu. Malah si ayu ini juga:
  • Sering menghabiskan masa berjam-jam untuk bersiap atau mandi.
  • Pantang nampak pakwe kacak, sibuk untuk cuba mendekati si mamat yang belum dikenalinya itu.
  • Mempunyai matlamat untuk menyertai percutian semata-mata untuk mendampingi rakan-rakan lelaki yang turut serta.
Jika kamu berhadapan dengan sahabat sebegini, kamu perlu menjadi penasihat setia agar berhati-hati sewaktu memiliki kawan lelaki yang ingin cuba menghampirinya. Jika perlu, kamu tegaskan pada sahabat kamu itu bahawa rakan-rakan lelaki yang ingin cuba didekatinya itu tidak sesuai untuk dia hampiri kerana lelaki itu sudah ada pilihan hatinya sendiri. Kamu juga boleh membuat satu peraturan, rakan-rakan perempuan tidak boleh berbual atau keluar secara berpasang-pasangan dengan rakan-rakan yang berlawanan jantina.

Kepala angin
Sikapnya yang suka naik angin pasti boleh menimbulkan rasa marah kamu terhadapnya. Malah bukan itu sahaja, sahabat sebegini juga kelihatan seperti ingin orang lain mengikut cadangan dan pandangannya sahaja. Malah dia juga"
  • Suka memaksa orang lain mempunyai hobi dan kegemaran yang sama dengannya. Jika tidak, sahabat ini akan menggunakan unsur paksaan bagi memaksa rakan-rakan yang lain mengikut telunjuknya.
  • Keras kepala dan tidak pernah mengakui kesalahan serta kesilapan diri sendiri. 
  • Jika kehendaknya tidak dituruti, alamatnya huru-haralah keadaan!
Jangan pula kamu paksa diri untuk menerima dan mengikut kata telunjuk sahabat kamu itu. Jika kamu tidak suka dengan sikapnya, apa kata kamu berterus terang sahaja dengannya. Malah, kamu juga boleh berpakat dengan rakan-rakan yang lain untuk memulaukan sikapnya yang kepala angin itu.

Si penyendiri
Sikap si penyendiri ini gemar berdiam diri dan sukar untuk bergaul dengan orang lain. Malah si penyendiri juga:
  • Suka berimaginasi dan termenung
  • Kehadirannya sukar diramal. Kadang-kadang ada dan kadang-kadang hilang entah ke mana. Malah dia sering menghubungi kamu menerusi telefon dan mengatakan lokasi di mana dirinya berada sekarang.
  • Sikapnya juga gemar mencemaskan rakan-rakan sekelilingnya.
Kamu tidak perlu menyekat pergerakan sahabat sebegini. Biarkan sahaja dia pergi ke mana sahaja yang dia mahu pergi. Tapi kamu tetapkan syarat kepadanya agar dia memberitahu terlebih dahulu ke mana tujuannya itu kepada salah seorang dari kamu. Selain itu, kamu tetapkan janji untuk bertemu dan berkumpul semula di satu lokasi yang ditetapkan. Dengan cara ini, si sahabat masih kekal berada dalam lingkungan kamu.

2 comments: