Sunday 29 January 2012

1... Janggal, 2... Statik, 3... Enjoy!

"ISH...mana boleh ambil gambar bertiga! Tak baik tau..." Mungkin kamu sering mendengar tentang mitos negatif tentang angka tiga ini. Ramai beranggapan jika sekumpulan rakan merakamkan gambar bertiga...malang akan menimpa kepada salah seorang dari mereka. Adakah kenyataan ini benar? Lantaran itu, ramai pula yang mengelak untuk bersahabat bertiga.

Memang benar bahawa ramai yang beranggapan bahawa nombor tiga adalah nombor tragik! Hakikatnya ia tidak benar sama sekali. Cuba bayangkan jika situasi ini berlaku ke atas diri kamu; Kamu mendapat jemputan untuk hadir ke satu majlis makan malam yang dianjurkan oleh rakan sekerja atau sekelas denganmu. Pada waktu itu kamu hanya memiliki seorang sahabat sahaja. Secara kebetulan pula sahabat kamu itu tidak dapat menemani kamu ke majlis makan malam itu kerana ada urusan keluarga yang harus diselesaikannya. Ha...bila situasi ini berlaku sudah tentu kamu jadi malas untuk menghadiri majlis tersebut. Jika kamu pergi pun, sudah tentu kamu akan berasa janggal dan idak selesa kerana tiada teman yang berdampingan dengan kamu. Lebih-lebih lagi apabila rakan sekerja atau sekelas kamu itu tidak begitu rapat dengan kamu sebelum ini. Situasi ini nyata boleh berubah jika kamu memiliki lebih dari seorang pilihan sahabat. Gambaran dari situasi tersebut turut membuktikan bahawa kehidupan nyata akan jadi lebih meriah jika kamu memiliki lebih dari seorang sahabat dalam satu masa.

Prinsip Persahabatan
Jangan pengaruhi minda kamu dengan pemikiran negatif! Mungkin ramai yang beranggapan bahawa dengan memiliki lebih dari seorang sahabat dalam satu masa ia boleh mendatangkan masalah. Maklumlah, banyak kepala...banyak pula kerenahnya nanti. Tidak! Kenyataan tersebut tidak benar sama sekali. Pokok pangkalnya ia terpulang kepada individu itu sendiri. Jika kamu berpegang dengan prinsip-prinsip persahabatan, sudah tentu segala masalah dapat kamu tangani dengan sekelip mata.

Tidak susah untuk kamu menjalin hubungan persahabatan dengan dua undividu lain dalam satu masa. Berikut disertakan situasi dan jalan penyelesaian yang boleh kamu ambil begi memastikan hubungan 'kumpulan persahabatan' kamu itu berhasil;
Saling bertolak ansur antara dua sahabat kamu itu sahaja tanpa perlu merisaukan atau menyakitkan perasaan sahabat yang seorang lagi.



Penyelesaiannya
Luangkan masa secara adil dengan kedua-dua sahabat kamu itu terlebih dahulu. Tidak salah jika kamu berhasrat untuk meluangkan masa dengan salah seorang dari mereka. Namun sebaik-baiknya lakukanlah ia secara berselang-seli agar sahabat kamu yang seorang lagi tidak merasa seperti terpinggir. Jika minggu ini kamu memilih untuk keluar bersama sahabat X, pastikan pada minggu berikutnya kamu luangkan masa untuk keluar dengan sahabat Y pula. Langkah kedua, biasakan untuk berkongsi keriangan bersama-sama. Sebagai contoh; kamu boleh meraikan hari-hari istimewa sahabat seperti hari lahir dan sebagainya secara peribadi dengan sahabat tersebut.

Raikan hari istimewa itu dengan kegemaran masing-masing. Jika sahabat X gemar menonton konsert, ajaklah si sahabat itu menonton konsert bersama-sama dengan kamu sewaktu hari jadinya. Manakala jika sahabat Y itu pula gemar melakukan aktiviti rekreasi seperti berkayak atau berkelah, peruntukan satu hari istimewa khusus untuk kamu dengan si sahabat itu saling berkongsi minat bersama. Ha...mudahkan! Jika dari awal kamu mewujudkan suasana yang sedemikian, sudah tentu tiada mana-mana pihak yang akan berkecil hati kerana masing-masing tahu hak dan keistimewaan antara satu sama lain.

Bergilir-gilir
Situasi: Sahabat-sahabat kamu memiliki perancangan yang berbeza-beza dalam satu malam. Masalahnya, pula, kedua-dua sahabat kamu itu sangat mengharapkan kehadiran kamu. Kamu buntu untuk membuat pilihan dan sukar untuk membuat keputusan pada waktu itu.

Penyelesaiannya
Bahagikan masa kamu. Jika salah seorang dari sahabat kamu itu meminta kamu menemaninya untuk keluar bersama seorang jejaka yang baru dikenalinya manakala yang seorang lagi pula mengajaj kamu untuk ke satu jamuan...kamu boleh memenuhi kedua-dua jemputan itu. Mula-mula kamu peruntukan sedikit masa untuk keluar makan bersama dengan sahabat beserta teman barunya itu. Setelah bersuai kenal untuk seketika, kamu boleh meminta diri untuk pergi ke jemputan sahabat yang kedua itu pula. Katakan pada sahabat pertama itu bahawa kamu perlu mengundur diri bagi memberi laluan kepada mereka untuk saling kenal-mengenali antara satu sama lain. Sebelum berpisah, jangan lupa menyuarakan hasrat kamu agar boleh keluar bersama-sama lagi di lain kali! Ha... Jadi, tiada masalah lagi kan?

Terima Perubahan
Situasi: Kamu memiliki dua sahabat iaitu sahabat X dan Y. Suatu hari kamu seolah-olah dapat menghidu seperti wujudnya kepincangan di dalam hubungan persahabatan itu. Si X bersikap dingin terhadap Y. Malah, sahabat X juga sering mengajak kamu keluar bersama-sama dengannya dan terus mengetepikan sahabat yang seorang lagi itu. apakah tindakan yang perlu kamu ambil?

Penyelesaiannya
Walaupun situasi ini boleh dianggap seperti agak berat sebelah dan sukar untuk kamu masuk campur, namun kamu perlu berkata jujur dengan sahabat kamu itu. Tanya pada si X kenapa dia perlu bersikap sedemikian sehingga perlu mengetepikan persahabatannya dengan si Y. Jika si X tidak mempunyai alasan yang kukuh kenapa dia bersikap sedemikian, kamu boleh menasihati si X agar cuba mengubah sikapnya itu. Mungkin si X tidak mahu berkongsi ikatan persahabatannya dengan kamu bersama orang lain. Namun perkara itu tidak perlu kamu ambil kira untuk dijadikan isu. Sebaliknya kamu boleh meneruskan persahabatan itu secara bertiga. Dan jangan abaikan kedua-dua sahabat itu dalam apa jua perancangan kamu. Pada masa yang sama kamu juga boleh cuba memperbaiki keadaan! Kesimpulannya, tidak sukar untuk menjalinkan hubungan persahabatn walau seramai mana pun kumpulan sahabat kamu itu! Yang penting, kamu dan para sahabat perlulah saling bertolak ansur dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Berikut diberikan tip dan panduan yang boleh kamu jadikan sebagai etika dalam usaha memelihara ikatan persahabatan yang terjalin secara berkumpulan itu agar kekal aman dan bebas dari persengketaan!
  1. Keterbukaan
    Bila memiliki sahabat lebih dari seorang, sudah tentu kamu perlu bersikap terbuka dalam menerima kelebihan dan kekurangan masing-masing. Lantaran itu, kamu tidak boleh cepat melatah atau melenting bila ada salah seorang dari mereka seolah-olah mengetepikan kamu dalam satu-satu perkara yang sedang dilakukannya. Mungkin si sahabat ada alasan tersendiri, mengapa dia harus bersikap sedemikian. Apa yang paling penting, kamu perlu sentiasa berfikiran positif dan bersikap terbuka!
  2. Berkorban dan Berkongsi
    Sikap suka berkorban dan sedia berkongsi adalah faktor yang mampu mendorong mengukuhkan lagi sesebuah persahabatan yang terjalin itu. Mungkin salah seorang dari sahabat-sahabat kamu itu gemar memilih kamu untuk dijadikan sebagai tempat yang paling selesa bagi dirinya meluahkan rintihan perasaan. Tak kira sama ada luahan suka mahupun duka. Sebagai sahabat, kamu perlu bijak menjaga rahsia peribadi si sahabat itu. Sentiasalah bersikap amanah dalam menyimpan rahsia. Jangan suka menyampainya kepada sahabat-sahabat yang lain kerana ia boleh merosakkan diri kamu sendiri.
  3. Sepakat
    Dalam persahabatan, masing-masing perlulah sedia menerima dan mendengar nasihat serta pendangan yang diberikan antara satu sama lain. Setiap kali berhasrat untuk melaksanakan sesuatu aktiviti secara berkumpulan, pastikan kamu dan sahabat-sahabat yang lain saling berbincang. Jalinkanlah hubungan itu dengan penuh kesepakatan dan persefahaman.
  4. Jujur
    Tak kira walau dalam apa jua keadaan setiap individu perlu memiliki sikap jujur. Kita perlu jujur pada diri sendiri, jujur pada perlakuan serta jujur pada persekitaran. Di dalam persahabatan, kejujuran mampu memberi pengaruh yang cukup besar. Luahkan pendapat dan pandangan kamu kepada para sahabat secara jujur dan terbuka.
  5. Hormat Menghormati
    Hormati hak dan kehidupan peribadi sahabat-sahabat kamu itu. Tidak salah jika kamu memberi peluang kepada sahabat-sahabat untuk bersendiri. Kaedah ini juga dikatakan berkesan untuk menangani masalah jemu! Secara tidak langsung, kamu juga akan memperoleh kebebasan untuk berdampingan dengan sesiapa sahaja tanpa sebarang sekatan.


Anti Gosip
Jadi mangsa gosip sudah tentu bakal menyakitkan jiwa kamu! Elak perkara-perkara berikut jika kamu ingin mengelak dari diri sendiri dijadikan mangsa gosip oleh rakan-rakan sekeliling!


  • Penampilan 'over'
    Jangan berpakaian terlalu 'over' atau seksi bagi mengelak diri sendiri menjadi buah mulut orang. Jangan jadikan diri kamu sebagai pusat perhatian umum!
  • Penggoda sejati
    Mungkin rakan-rakan sekerja kamu boleh dikatakan sesuai dijadikan 'steady boyfriend' tapi jangan nampakkan sangat yang kamu terhegeh-hegeh atau mengada-ngada kerana ada mata-mata yang sedang memerhatikan kamu.
  • Berkongsi cerita
    Berhasrat untuk berkongsi rintihan perasaan dengan rakan-rakan sekerja? Berhati-hati dalam mencari sahabat yang paling sesuai untuk berkongsi rahsia itu agar cerita peribadi kamu itu akan terus terpelihara!
  • Kaki kipas
    Akrab dengan bos kesempatan yang sangat baik. Tapi jangan sampai terdengar suara sumbang tentang keakraban kamu itu!
  • Banyak perangai
    Nama kamu sering disebut-sebut oleh orang-orang sekeliling kerana kamu terkenal dengan sikap 'over' ramahmu itu. Jadi lebih baik kamu lebih berhati-hati dalam pergaulan dan jaga tingkah laku bagi memastikan dii kamu tidak terus dijadikan sebagai mangsa keadaan!
#saya sayang sahabat-sahabat saya#

No comments:

Post a Comment