Tuesday 31 January 2012

Sahabat... 'The More The Merrier'

'CARILAH seribu sahabat kerana seribu sahabat itu belum terlalu banyak. Jauhilah seorang musuh kerana seorang musuh itu sudah terlalu banyak.' Ha...apa kata kamu lihat diri kamu sekarang, adakah kehidupan kamu kini dikelilingi oleh ramai sahabat? Atau sahabat yang mendampingi kamu masih boleh dikira dengan jari? Mengapa perlu takut untuk bersahabat?

Mungkin ramai yang tidak menyedari bahawa kehadiran sahabat di dalam kehidupan seharian, mampu mendatangkan keceriaan dan semangat yang positif dalam diri. Jadi apa kata kehadiran tahun ini kamu sematkan azam untuk menambah lebih ramai kenalan dan sahabat baru untuk didampingi. Tidak tahu cara bagaimana untuk mencari dan memulakan ikatan persahabatan itu? Apa kata kamu cuba tip berikut;

Senyuman



Ikatan persahabatan boleh dimulakan dengan senyuman. Berikan senyuman yang ikhlas kepada individu yang baru kamu kenali kerana ia mampu meninggalkan impak yang positif dalam kitaran sosial kehidupan. Riak wajah ramah boleh dizahirkan menerusi senyuman. Jika kamu ingin lebih ramai individu mendekati kamu, pastikan kamu tidak lokek dengan senyuman.

Jom gathering!





Anjurkan satu majlis pertemuan bersama rakan-rakan. Kepada setiap tetamu yang hadir, kamu sarankan agar mereka turut membawa dua atau tiga orang rakan baru. Secara tidak langsung kamu boleh saling kenal-mengenali antara satu sama lain dalam usaha meluaskan lagi jaringan yang sedia ada. Tidak semestinya kamu perlu mengadakan majlis ini di restoran-restoran mewah atau hotel. Sebaliknya kamu boleh mengatur pertemuan di mana-mana lokasi strategik seperti di warung-warung biasa yang sesuai, taman-taman rekreasi dan sebagainya. Tidak perlu terlalu protokol!

Ketepikan ego!





Ketepikan rasa malu dan ego. Di dalam persahabatan, kamu tidak boleh bersikap sombong. Jadi, jangan takut atau malu untuk memulakan perbualan. Mulakan perbualan dengan dialog yang bersesuaian. Contohnya; sewaktu sedang menunggu teksi ada seseorang yang kamu rasa boleh dijadikan rakan berbual duduk berhampiran dengan kamu. Dekatinya secara perlahan-lahan dan ajukan pertanyaan seperti: 'sudah lama menunggu?' atau 'awak hendak ke mana?' Olah dialog yang boleh dikembangkan menjadi bahan perbualan bersama. Dengan cara ini kamu boleh memulakan hubungan persahabatan. Mungkin kamu boleh saling bertukar-tukar kad perniagaan antara satu sama lain.

Dekati dunia maya





Facebook dan Twitter adalah antara dua komuniti dalam talian yang terhangat masa kini. Untuk meluaskan lagi persahabatan di samping berusaha menjejak rakan-rakan lama, kamu boleh turut sama menyertai jaringan sosial dalam talian ini! Kalau tidak percaya, cuba kamu daftarkan diri dalam mana-mana kemudahan internet yang menawarkan perkhidmatan persahabatan sedemikian! Sekelip mata sahaja ramai kenalan-kenalan baru yang terdiri dari pelbagai latar belakang boleh kamu kenali di sini! Tidak susah untuk kamu mencari kenalan sekarang.

Beraktiviti & berkenalan





Saban hari pelbagai agensi dan kelab kerap mengadakan aktiviti seperti perkhemahan, ekspedisi, jamuan-jamuan tertentu dan sebagainya. Contohnya di majalah REMAJA, sepanjang tahun majalah ini tidak ketinggalan menyediakan pelbagai program istimewa khusus untuk pembaca seperti Bengkel Penulisan, sambutan ulang tahun REMAJA dan sebagainya. Jadi, jangan ketinggalan untuk menyertai aktiviti dan program sebegini kerana secara tidak langsung kamu boleh menambah lebih ramai kenalan baru dalam lingkungan sosial harian kamu. Beraktivitilah sambil bersosial!

Kembali terjalin...





Bagi kebanyakan individu kehadiran sahabat boleh dianggap sebagai tempat terbaik untuk seseorang itu mencurahkan perasaan, saling berkongsi rahsia, harapan dan kesedihan. Sayangnya, kesibukan kerja dan rutin harian menyebabkan kita sering terputus hubungan dengan sahabat lama. Apa khabar mereka sekarang? Adakah mereka masih boleh dijadikan sebagai tempat terbaik untuk mencurah rasa? Tidak sabar rasanya untuk mengembalikan hubungan persahabatan yang pernah terputus? Tunggu...! Kerana ada beberapa perkara yang perlu kamu ambil kira sebelum mengambil keputusan untuk menjalin perhubungan dengan sahabat lama itu:

  1. Ikatan persahabatan kamu dengannya mungkin boleh berubah. Kamu perlu sedar bahawa setiap manusia pasti akan berubah dari hari ke hari. Tidak mustahil sahabat yang kamu kenali dahulu tidak sama seperti dahulu lagi!
  2. Fikirkan cara terbaik bagaimana hubungan persahabatan kamu dengan sahabat itu boleh dijalin semula.
  3. Jangan terlalu yakin semuanya akan kembali seperti sedia kala. Lakukan secara berperingkat. Dan kamu masih perlu berusaha untuk mengembalikan semula kepercayaan seorang sahabat. 
  4. Jika kamu pernah melakukan kesalahan pada suatu ketika dahulu sehingga hubungan persahabatan kamu terputus, jangan ragu-ragu untuk terus meminta maaf dan jelaskan tentang kedudukan yang sebenarnya kepada sahabat.
  5. Perkara yang paling sukar adalah sewaktu kamu cuba menghubungi sahabat untuk pertama kalinya. Bila telah mula berhubung semula, lama kelamaan kebekuan yang suatu ketika dahulu pernah menyaluti hubungan persahabatan itu boleh mencair. Tidak mustahil kamu boleh mendapatkan sahabat kamu itu semula!


#saya sayang sahabat-sahabat saya#

2 comments:

  1. hi..nice blog..follow me back..=) http://prettyfairy-blogspot.blogspot.com/

    ReplyDelete