Thursday 19 January 2012

Sahabat Susah & Senang..Sanggupkah Kamu?

KAWAN, teman, sahabat, member mahupun geng mudah dicari. Namun sejauh mana kejujuran yang diterima selama kamu menjalinkan persahabatan dengan sahabatmu itu? Setakat mana kasih sayangnya dan terapan nilai persahabatnnya pada kamu?

Bukan mahu dilayani seperti permaisuri atau raja, tetapi sebagai individu yang bergelar sahabat, pastinya si dia akan sedaya upaya untuk menjadi insan yang paling rapat dan bertanggungjawab pada kamu dan begitu juga sebaliknya.

Sahabat sejati ialah seorang sahabat yang boleh berkongsi apa saja. Bukan hanya boleh bercerita tentang perkara yang indah-indah sahaja, tetapi juga boleh mendengar apa saja masalah yang berlaku pada diri kita. Kepercayaan dan kesetiaan dalam bersahabat adalah elemen yang paling penting dalam merealisasikan harapan untuk membawa sebuah persahabatan itu ke arah yang lebih baik dan tulus. Persahabatan yang berkekalan akan membawa kepada kesejahteraan dalam bersosial. Sebagai remaja yang periang seperti kamu, pastinya kehadiran sahabat adalah suatu hal yang boleh membuatkan diri kamu teruja!

Jadi cuba luangkan sedikit masa dan intai beberapa situasi di bawah. Setiap situasi yang berlaku boleh saja terjadi pada dirimu ataupun sesiapa saja. Melaluinya kamu boleh menilai di manakah dirimu dalam bersahabat...

SITUASI 1
Putus Cinta
Sahabatmu baru sahaja putus cinta. Jadi tidak hairanlah jika perangainya semacam ada yang tidak kena. Bukan itu sahaja, kamu juga menjadi sasarannya untuk dia meluahkan apa yang telah berlaku di antara dia dengan bekas kekasihnya. Dia mengadu segalanya, memburuk-burukkan bekas kekasih, bercerita hal yang bukan-bukan (misalnya tak mahu meneruskan hidup lagi, tak akan mencari pengganti, biar membujang sampai ke tua) dan sebagainya. Mungkin adakalanya dia bercerita perihal apa yang berlaku itu berulang-ulang kali hingga kamu pun sudah boleh menghafalnya bait-bait katanya. Apa yang diberitahunya itu membuatkan kamu berasa bosan dan muak. Pada pandanganmu, bukan dia saja yang pernah putus cinta. Jadi kamu hanya mendengar sahaja luahannya tanpa berbuat apa-apa.



Sahabat Susah & Senang
Sebagai seorang sahabat sejati, kamu sebolehnya akan cuba untuk membuatnya lebih tenang menghadapi realiti ini. Di saat emosinya yang terganggu ini, sudah tentu reaksinya akan sedikit menjengkelkan. Mungkin ada saja perkara yang kamu kurang senang dengannya. Namun kamu perlu faham, sahabatmu juga mempunyai perasaan sedih, sama saja seperti kamu. Oleh itu, cuba untuk menghiburkan hatinya yang sedang kusut itu. Cari jalan untuk membuatkan si dia tenang. Contohnya luangkan masa dengannya seperti keluar bercuti untuk beberapa hari, berhibur dengannya dan juga berkongsi hobi. Tidak salah andai kamu menemaninya melukis jika itu menjadi hobinya dan juga sebagai satu terapi untuknya bagi melupakan perasaan kecewanya itu. Pendek kata, cuba untuk menjadi teman kepada sahabatmu itu. Di saat ini tentunya teman terdekat sepertimu adalah insan yang paling diharapkannya untuk merungkaikan kekecewaannya.



SITUASI 2
Menghadapi Peperiksaan
Final exam semakin hampir! Segala persiapan sebelum menghadapi peperiksaan akhir perlu kamu segerakan. Kamu begitu sibuk mengulang kaji pelajaran, berkunjung ke perpustakaan untuk meminjam buku rujukan, membuat study group dan sebagainya. Tetapi, kamu lupa untuk mempelawa sahabat baikmu untuk turut sama menelaah pelajaran. Kononnya kamu mahukan privasi untuk belajar. Malah apa yang lebih menyedihkan, sahabatmu itu kelihatan terkontang-kanting belajar secara sendirian. Kamu tidak langsung mempelawanya kerana kamu hanya beranggapan bahawa sahabat 'hanya boleh digunakan' di waktu lapang sahaja. Bila tiba masa exam, masing-masing cuba buat hal sendiri. Yang penting, kamu lulus cemerlang dalam peperiksaan nanti. Bukan sahabatmu yang memberi markah.

Sahabat Susah & Senang
Dalam apa keadaan sekalipun, memang penting bagi kamu untuk bertindak dengan betul.Jika dilihat pada senario di atas, kamu hanya pentingkan diri sendiri sahaja. Kamu dilihat tidak mempedulikan orang lain dan hanya berkawan untuk suka-suka sahaja. Hal ini pastinya membuatkan sahabatmu berasa dirinya tersisih. Hanya diperlukan sewaktu kamu ingin bersenang-senang. Oleh tiu, sebagai sahabat, mempelawanya untuk turut sama dalam aktiviti belajar kamu adalah langkah paling wajar. Mungkin dia mengharapkan kamu untuk mempelawanya. Dia hanya menunggu 'lampu hijau' dari kamu. Mungkin juga dia segan untuk menawarkan dirinya sendiri. Jadi tidak salah jika kamu yang memulakan bicara. Bertolak ansur adalah cara yang terbaik bukan? Apatah lagi dalam soal mengulang kaji pelajaran.



SITUASI 3
Ingin Berhutang
Sewaktu kamu menonton siri Desperate Housewives di rumah, sahabatmu telah bercerita tentang dirinya yang tengah 'kering'. Wang sakunya semakin susut kerana membayar hutang. Kamu sudah tahu apakah 'tujuan' sebenarnya membuka bicara tentang sinopsis cerita, menukar topik perbualan dan sebagainya. Macam-macam helah cuba kamu berikan. Akhirnya, sahabatmu melupakan hasratnya untuk meneruskan perbualan. Manakala kamu pula tentunya berasa lega kerana wang kamu 'selamat' sekurang-kurangnya, rakanmu itu tidak berhutang dengan kamu.

Sahabat Susah & Senang
Aduh, buruk benar perangai kamu! Terserlah sangat sifatmu yang mementingkan diri sendiri. Jangan begitu, sebaiknya cuba kamu dengar dulu apa yang ingin dikatakannya dan jika boleh jangan keberatan untuk membantu menyelesaikan kekusutannya. Apabila suatu masalah itu melibatkan wang, sudah pasti ia merupakan suatu masalah yang besar. Apatah lagi jika kamu masih belajar. Dalam situasi ini, kamu perlu mendengar terlebih dahulu dan menilai sejauh mana kebenaran dan masalah yang dia hadapi. Bukan mahu memaksa kamu untuk memberi wang kepadanya, tetapi dalam bersahabat, tidak salah jika kita menolong sekadar yang termampu. Selain itu, jika kamu tidak boleh menolongnya dari segi kewangan, apa kata kamu cuba memberi motivasi kepadanya dan cuba untuk meringankan beban yang dihadapi. Misalnya, mengajarnya untuk berjimat, menabung dan sebagainya. Lebih kukuh ikatan persahabatan itu seandainya kamu tahu untuk mengawal masalah rakanmu yang lain. Malah, ia juga membuktikan bahawa kamu adalah rakannya sama ada di waktu senang ataupun susah. Penyelesaian yang terbaik akan membawa kepada hubungan persahabatan berkekalan buat selama-lamanya.



#saya sayang sahabat-sahabat saya#/

No comments:

Post a Comment