Monday 9 January 2012

Kuasa Persahabatan Lelaki VS Perempuan

BERFIKIRLAH secara positif dan percaya pada hakikat persahabatan yang sebenar. Itulah antara prinsip dan etika persahabatan yang harus dititikberatkan dalam pergaulan seharian. Mengapa perlu mengelak atau memandang serong terhadap hubungan persahabatan berbeza jantina. Baik lelaki mahupun perempuan, sesiapa sahaja berhak dan boleh menjadi teman kamu. Pokok pangkalnya, tepuklah dada dan tanya selera. Kerana kamu sendiri yang tahu menilai sejauh mana berhasilnya sesebuah hubungan persahabatan yang terjalin itu. 

Pasangan memahami 
Seperti kisah persahabatan yang dilalui oleh dua sahabat, Nadia dan Imran ini. Persahabatan mereka kini telah menjangkau usia enam tahun. sepanjang tempoh bersahabat, masing-masing bijak menyemai perasaan kasih sayang antara satu sama lain tanpa melanggar etika persahabatan. Biarpun pada awalnya ada rakan-rakan yang gemar mengusik dan mempersendakan hubungan persahabatan mereka itu. Namun sedikitpun ia tidak menjejaskan hubungan persahabatan mereka.

Lebih istimewa
Nadia mahupun Imran masing-masing memiliki teman istimewa sendiri. Secara tidak langsung hubungan persahabatan mereka jadi semakin berkembang dan semakin akrab kerana teman lelaki Nadia dan teman wanita Imran turut sama menghargai hubungan persahabatan antara Nadia dan Imran yang memang telah sedia terjalin itu.
Hakikatnya, hubungan persahabatan itu biasa terjalin atas dasar saling mempercayai dan saling memahami antara satu sama lain. Begitu juga bila menyentuh soal cinta. Jika pasangan dapat menerima kehadiran sahabat di sisi kamu, nyata hubungan persahabatan dan cinta itu sama-sama berkembang mekar tanpa menjejaskan hubungan mana-mana pihak.

Kejujuran
Sahabat yang berlawanan jantina ini perlu diketahui dan diperkenalkan kepada pasangan masing-masing. Ini perlu bagi mengelakkan timbulnya perasaan curiga. Sahabat berlawanan jantina juga sememangnya banyak membantu khususnya sewaktu hubungan kamu dengan si dia sedang dilanda masalah. Sekurang-kurangnya kamu ada tempat untuk berkongsi rasa dan si sahabat juga boleh membantu kamu dengan cara memberi pandangan dan pendapatnya. Jadikan sahabat sebagai individu yang dapat membantu kamu memecahkan masalah dan bukan untuk bergantung. Sebaiknya, carilah sahabat lain yang boleh kamu percayai agar kamu boleh memilih mana-mana pihak yang bersesuaian untuk mendengar masalah yang sedang kamu hadapi.


Etika
Untuk memastikan hubungan kamu itu benar-benar berjaya, sebaik-baiknya kamu harus berpegang teguh pada batas dan etika pergaulan dalam persahabatan. Sebagai langkah keselamatan sekali gus menjaga hati pasangan agar tidak berperasaan curiga terhadap hubungan akrab antara kamu dengan sahabat, kamu perlu sentiasa bersikap berterus terang. Sebaik-baiknya, libatkan pasangan kamu dalam setiap perbincangan dan perkara yang ingin kamu bincangkan bersama sahabat agar si dia tidak rasa disisih atau diabaikan.

Berkongsi
Setiap kali kamu dilanda masalah, jangan pula kamu terus mencari sahabat sebagai rujukan. Sebaliknya, kamu perlu terlebih dahulu merujuk setiap permasalahan yang kamu alami itu dengan pasangan. Namun jika tidak dapat mengelak atau kamu rasakan si sahabat lebih memahami dan kamu masih perlukan pandangan sahabat, sebaiknya kamu jadikan sahabat itu sebagai rujukan kedua. Untuk mengambil hati pasangan, kongsi masalah yang membebani kamu itu dengan pasangan terlebih dahulu. Setelah pasangan selesai memberi pandangannya barulah kamu boleh bertanyakan pendapat si sahabat pula. Pun begitu jangan pula kamu membanding-bandingkan pendapat atau pandangan yang diberikan oleh sahabat dengan kekasih kamu itu. Kerana cara ini boleh mendatangkan masalah di dalam perhubungan kamu kelak. 

Berhati-hati
Tahukah kamu bahawa hubungan persahabatan yang memiliki perasaan 'istimewa' nyata boleh dikesan sejak dari awal perhubungan lagi. Individu yang memiliki rasa 'sayang' kepada sahabatnya boleh dikesan kelainannya menerusi gerak-gerinya, cara dia memandang, kata-kata yang dilafazkan dan sedikit sebanyak individu ini akan menunjukkan sikap yang terlalu berharap terhadap sahabat. Jadi, kamu harus memperbetulkan niat dan matlamat kamu dalam persahabatan. Jangan ambil kesempatan di atas kebaikan sahabat kamu itu! Sebaliknya, peliharalah hubungan itu agar kekal mekar sebagai sahabat sejati. 
Adakalanya kamu juga perlu menjaga hak peribadi masing-masing. Jangan terlalu sibuk dengan masalah sahabat sehinggakan sahabat rasa naik rimas dengan kehadiran kamu di saat dia inginkan waktu untuk bersendirian. Kamu juga tidak perlu menetapkan rutin harian untuk bertemu sahabat. Sebaliknya, kamu boleh menemui sahabat di saat masing-masing memerlukan teman untuk berbual atau berkongsi aktiviti bersama. Malah, kamu harus sedar bahawa tidak semua hal boleh diceritakan antara satu sama lain.

Batas
Ada antara topik-topik tertentu tentang perempuan yang boleh dibawa berbincang dengan sahabat lelaki. Khususnya yang melibatkan perkara-perkara yang bersifat terlalu peribadi.
Namun ada juga perkara yang boleh menimbulkan rasa sakit hati bila dibawa berbincang. Boleh jadi juga si sahabat merasakan sesuatu perkara itu agak remeh untuk diajak berbincang atau dibualkan. Sebaiknya, kamu dan sahabat perlu mengelak dari timbulnya persoalan sedemikian. Sifat keterbukaan dan saling menerima kekurangan masing-masing adalah perlu dalam usaha meneruskan hubungan persahabatan.
Dalam situasi ini kejujuran memainkan peranan penting agar kamu tidak terlalu bergantung dengannya serta tidak menganggu hubungan kamu dengan si dia. Lantaran itu batasan-batasan ini perlu digariskan dengan sebaik mungkin serta akan memastikan kamu tidak terjerat dengan mainan perasaan di kemudian hari.


#saya sayang sahabat-sahabat saya#

No comments:

Post a Comment