Wednesday 18 January 2012

Berteman dan Sekepala Enjoy

BERKAWAN memang seronok apatah lagi dalam usia remaja sebegini. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan bersama-sama. Sebagai sahabat kamu perlu saling memberi semangat dan perangsang di antara satu sama lain.

Khususnya bila ada salah seorang dari sahabat kamu itu sedang berada dalam kesusahan atau kesedihan. Untuk membangkitkan kelainan dalam persahabatan kamu boleh cuba ilhamkan sebuah diari istimewa khusus untuk menjadi tempat curahan rasa antara kamu dengan sahabat-sahabat yang lain. Kongsi diari itu bersama-sama dan bergilir-gilir menyimpannya. Pasti kamu dan sahabat akan lebih saling mengenali dan mendalami perasaan antara satu sama lain.

Di dalam diari tersebut kamu dan sahabat-sahabat perlu mengilhamkan satu prinsip atau visi persahabatan yang menjadi lambang keteguhan kepada ikatan persahabatan kamu itu. Sebagai contoh;

  • Berjanji untuk selalu menikmati kehidupan walaupun sedang berhadapan dengan apa jua masalah.
  • Dilarang untuk mengata sahabat di belakang.
  • Berjanji untuk bersikap jujur antara satu sama lain. Berjanji untuk tidak melupakan sahabat meskipun sudah memiliki kekasih.
  • Buat perjanjian secara rasmi antara kamu dan sahabat berdasarkan prinsip-prinsip yang tertera di dalam diari tersebut.
Time capsule!
Tiada istilah lupa kawan dalam lingkungan persahabatan kamu! Untuk memastikan kamu dan sahabat-sahabat lain saling mengingati antara satu sama lain, wujudkan 'time capsule' antara kamu. Sediakan sebuah kotak yang diisi dengan pelbagai barang kenangan antara kamu dengan sahabat. Contohnya; gambar, diari, surat perjanjian dan lain-lain barang kenangan yang berkaitan dengan kamu dan sahabat. Simpan di satu tempat tersembunyi. Buat perjanjian untuk sama-sama berkumpul di tempat persembunyian barang tersebut dalam satu jangka waktu tertentu seperti 10 atau 15 tahun akan datang. Buka 'time capsule' itu bersama-sama. Pasti kamu dan sahabat merasa teruja dan terharu bila mengimbau kembali memori barang-barang yang kamu simpan itu!

Variasikan aktiviti
Setiap kali kamu meluangkan masa bersama sahabat, aktiviti lazim yang akan kamu lakukan ialah menonton wayang, makan bersama, window shopping dan lain-lain aktiviti biasa yang membosankan! Sesekali apa kata kamu ubah corak aktiviti kamu dengan sahabat dengan mempelbagaikan aktiviti seperti;
  • Mengilhamkan sepasang rekaan baju yang dihasilkan dengan kerjasama antara kamu dan sahabat-sahabat. Masing-masing perlu berkongsi idea untuk menghasilkan baju tersebut. Nyata, hasilnya nanti boleh dijadikan kenangan paling bermakna dalam kehidupan kamu dan sahabatmu. Memandang bajet tidak mencukupi untuk kamu dan sahabat membeli kesemua baju kegemaran yang diidam-idamkan, apa kata kamu ambil peluang unruk mencuba sahaja baju yang kamu gemari itu di dalam bilik persalinan di mana-mana butik yang kamu kunjungi itu! Semasa mencuba, jangan ketinggalan untuk merakamkan gambar sewaktu kamu menggayakan baju tersebut. Begitu juga dengan sahabat-sahabat yang lain. Ha...pasti seronokkan bila memiliki koleksi foto dengan memperagakan pelbagai rekaan pakaian yang kamu gemari! Semua itu boleh dijadikan memori tau.
  • Jom berkaraoke! Ajak sahabatmu menari, menyanyi dan berseronok sepuas-puasnya dengan berkaraoke. Aktiviti sebegini pasti boleh mengendurkan ketegangan yang mungkin sedang kamu alami. Bila berada di dalam lingkungan sahabat sahaja, apa jua perkara boleh kamu lakukan bersama-sama tanpa rasa malu. Tidak perlu bimbang jika kamu tidak pandai menyanyi. Yang penting kamu enjoy! Untuk memberikan impak yang lebih menarik dan menyeronokkan, apa kata kamu dan sahabat memperagakan pakaian dan penampilan ala selebriti atau penyanyi kegemaran masing-masing. Kemudian menyanyilah lagu-lagu nyanyian mereka! Ha...sudah tentu seronok kan!
  • Sesekali ubah penampilan seronok juga! Ajak sahabat-sahabat mengumpul aksesori dan alatan solek bersama-sama. Kemudian berdandanlah sepuas-puasnya. Kamu juga boleh saling bantu-membantu antara satu sama lain. Seperti; memakaikan creambath kepada sahabat, menyolekkan sahabat atau kamu dan sahabat juga boleh saling membantu melakukan manicure dan pedicure antara satu sama lain. Setelah penampilan masing-masing 100% sempurna, pergilah ke mana-mana tempat yang kamu suka bersama!
  • Zaman sekarang, teknologi ada di mana-mana. Jadi, gunakan teknologi yang ada itu untuk kepentingan kamu dan sahabat bersama-sama. Contohnya, jika kamu memiliki 'handycam' apa kata kamu rakamkan seluruh aktiviti kamu dengan sahabat sepanjang hari. Inilah peluang untuk kamu dan sahabat berlakon dan mengasah bakat terpendam masing-masing. Pastikan ke mana sahaja kamu pergi dan walau apa jua yang kamu lakukan, dirakamkan dalam 'handycam' tersebut. Suatu hari nanti, rakaman itu pasti bakal menyentuh perasaan kamu.


#saya sayang sahabat-sahabat saya#

No comments:

Post a Comment